Tuesday 23 September 2014

Surah As-Sajdah

Teks : Hamizah Hamzah

SURAH AS-SAJDAH
Terlebih dahulu ingin saya maklumkan bahawa intisari artikel berikut telah saya petik dari buku yang telah diterbitkan oleh Pusat Pungutan Zakat Terbitan Eksklusif Siri Ke-2. Semoga artikel ini dapat dimanfaatkan oleh kita semua dalam meningkatkan taraf kerohanian sebagai hamba Allah yang mengabdikan diri kepada Nya. InsyaAllah.

Pengenalan Surah
Surah As-Sajdah merupakan surah yang diturunkan sebelum hijrah atau dikenali sebagai surah Makkiah. Kesemua ayatnya adalah Makkiah kecuali tiga ayat yang diturunkan di Madinah iaitu ayat 18 hingga 20. Jumlah ayatnya sebanyak 30. Ada juga pendapat yang mengatakan jumlah ayatnya sebanyak 29. Surah ini dinamakan As-Sajdah kerana di dalamnya Allah menyebutkan tentang sifat orang mukmin yang sempurna apabila disebutkan ayat-ayat Allah kepada mereka maka mereka akan tersungkur sujud kepada Allah SWT.

Al-Alusi dalam memberikan kata pengantar terhadap surah ini dalam kitab Al-Itqan menyebutkan surah ini juga dinamakan Al-Madhaji’ (tempat pembaringan). Dalam kitab Majma Al-Bayan mengatakan selain dinamakn surah As-Sajdah, ia juga dinamakan Sajdah Luqman. Penamaan Sajdah Luqman supaya tidak timbul kekeliruan dengan surah Haamim Al-Sajdah.

Fadilat Surah
Dalam sebuah hadith yang sahih bersumber daripada Ibn Abbas menyebutkan :
‘Nabi SAW membaca surah As-Sajdah pada solat Subuh hari Jumaat dan surah Al-Insan’.

Dalam Musnad Al-Darimi beliau mengeluarkan sebuah hadith yang bersumberkan daripada Jabir bin Abdullah, katanya :
‘Adalah Nabi SAW tidak tidur melainkan setelah terlebih dahulu membaca surah Al-Sajdah dan surah Al-Mulk’

Al-Darimi juga menyebutkan sebuah athar yang bersumberkan daripada Khalid bin Mi’dan katanya
‘Bacalah surah Al-Munjiah iaitu Alif Lam Mim Tanzil, kerana sesungguhnya telah sampai berita kepadaku tentang seorang lelaki yang sering membacanya yang mana dia tidak beramal dengan surah selainnya. Lelaki itu pula merupakan seroang yang banyak berbuat dosa. Lalu surah tersebut menebarkan sayapnya seraya berkata : Wahai Tuhanku, ampunkanlah dosanya kerana dia seorang yang banyak membaca daku. Lalu Tuhan memberikan syafaat kepadanya serta berfirman : Tuliskan untuknya bagi setiap kejahatan yang dilakukannya sebagai kebajikan dan angkatkan untuknya satu darjat’.


Wassalam.

No comments :

Post a Comment